Segenggam Bara

sunset portrait

I

Kepala Zain masih kuat berdenyut. Benjolan di atas mata kirinya juga masih terasa sakit walau sudah dibebat kain. Calar-balar di lengan, siku hingga ke betis masih belum bertukar parut. Sengal badannya usah cakaplah, hendak menggerakkan bahu ke belakang pun menyakitkan. Teruk juga dia dan Jimi dikerjakan kelmarin. Dia berasa mahu satu badannya diurut untuk membetulkan urat-urat yang lari dan membuang angin yang terkumpul dalam badan. Tapi, mana mahu dicari tukang urut Melayu di tengah-tengah bandar UK ini?

Dengan badan yang sakit-sakit, dia menggagahkan dirinya ke Masjid Sparkbrook kurang lebih dua puluh lima minit di depan dengan berjalan kaki. Dia akan mempengerusikan mesyuarat persatuan pelajar kira-kira selepas Zuhur nanti di sana. Beg sandangnya terasa berat walau hanya diisi senaskhah buku The Clash of Civilizations yang baharu dipinjamnya dari perpustakaan universiti selain buku-buku nota mata pelajaran, buku nota kecil mesyuarat dan sekeping sandwich. Dia akan melewati satu kelab kriket di Jalan Edgbaston sebelum membelok ke Jalan Highgate untuk ke masjid. Dia berharap tidak bertembung dengan kumpulan remaja tempatan yang gemar mengganggu pelajar-pelajar asing sepertinya. Waktu-waktu sebegini dibimbangi adalah waktu mereka berada di padang kriket. Zain berharap apabila dia melalui jalan tersebut, mereka masih sibuk berlatih di padang dan tidak berada di luar stadium sehingga memungkinkan mereka bersemuka.

Zain meraba poket seluarnya apabila telefon pintarnya bergegar. Seraya mengeluarkannya dari poket, nama yang dilihat tertera di skrin ialah Farhan, rakan sekursusnya dari Pakistan. Zain tersenyum sebelum meleretkan jarinya ke kanan skrin untuk menjawab panggilan.

“Assalamualaikum, brother Farhan!” ucap Zain. Suaranya agak terketar-ketar.

“Waalaikumussalam, Zain! Hey, my friend! How’s your condition, brother? I heard something bad happened to you!” Farhan kedengaran agak resah di hujung talian.

“Jangan bimbang, Farhan! Badanku masih gagah. Kalau disuruh berenang menyeberangi Sungai Thames sekalipun masih mampu. Ha! Ha! Ha!” Zain bergurau. Sebenarnya dia berasa girang apabila Farhan menghubunginya.

“Kau masih boleh ketawa? Apa sebenarnya berlaku, Zain? Mahu kulaporkan kepada pihak berkuasa?” Resah Farhan tidak surut, sebaliknya makin bertambah dengan kata main-main dari Zain.

“Oh, tidak perlu, saudaraku! Hanya berlaku sedikit salah faham. Perkara ini pun sudah kuanggap selesai. Tak perlulah kita memanjang-manjangkan lagi hal ini.”

“Di mana kau sekarang, Zain? Aku ingin menemuimu.”

“Aku dalam perjalanan ke Masjid Sparkbrook. Boleh kau pergi ke sana? Kita boleh berjumpa selepas Maghrib nanti.”

“Kau masih aktif berpersatuan? Dalam keadaanmu sekarang?”

“He! He! Jangan pandang rendah kekuatan anak Malaysia, Farhan! Kami sudah menyeberangi Selat Inggeris malah menawan puncak Gunung Everest!”

“Kau memang begini sejak aku mengenalimu. Degil.”

“Ha! Ha! Jumpa kamu di Sparkbrook nanti, Farhan!”

Zain menekan simbol gagang telefon berwarna merah. Dia menyimpan semula telefonnya ke dalam poket seluar sambil tersenyum lebar. Sekurang-kurangnya sakit badannya tidaklah dirasakan seteruk mana apabila mengetahui ada rakan seperti Farhan yang sudi mengambil berat akan keadaannya. Di negara asing yang beribu-ribu batu jauhnya dari ibu bapa dan saudara-mara, perhatian sekecil mana pun dari sesiapa jua akan kedengaran sangat membahagiakan. Meski ia tidak mampu memulihkan luka, calar-balar dan sengal badan, ia sangat mampu menyejukkan hati yang panas dan memulihkan semula semangat yang hampir hilang. Zain bersyukur mempunyai sahabat karib yang baik hati seperti Farhan dan rakan-rakan senegaranya yang menganggotai Persatuan Pelajar Malaysia yang akan ditemuinya beberapa minit lagi.

Oh, tanpa disedarinya, Zain telah pun melewati kelab kriket dengan selamat! Perbualan dengan Farhan sebentar tadi telah melekakannya sehingga tidak dia perasan telah menyusuri Jalan Edgbaston tanpa sebarang masalah. Kini, Masjid Sparkbrook tidak jauh di depan. Zain berasa bersemangat lalu mempercepatkan langkah kaki seperti tidak sabar-sabar lagi mahu bertemu rakan-rakannya di sana.

II

masjid sparkbrook

Jimi terbaring di atas katil dalam biliknya, tidak banyak bergerak. Kepalanya pusing dan terasa amat berat. Mata kanannya hampir tidak boleh dibuka. Seharian dia dirawat Andi, rakan sebiliknya. Semalam, satu hari penuh dia tidur sahaja. Mujur cuti semester masih berbaki. Dapatlah dia memulihkan tenaga sebelum menyambung kuliah. Ginseng akar kayu bekalan dari Malaysia memang ada dia simpan. Andilah yang membantu merenehkannya untuk Jimi. Hari ini dia berasa lebih sihat. Dia bangun sebelum bersandar di kepala katil. Matanya melilau menyeluruhi bilik sederhana besar itu.

“Oh, kau dah bangun, Jimi! Apa yang kaucari itu?” Perhatian Andi yang sedang membaca sesuatu di telefon pintar teralih apabila menyedari Jimi sudah bangun dari pembaringannya.

“Zain mana?”

“Ke mana lagi,” jawab Andi. “Dia pergi mesyuarat persatuan di Sparkbrook!” sambungnya, sambil kembali melihat telefon pintar di depan mata.

“Hah! Kenapa kau tak halang dia, Andi? Kau tahu tak dia kena lebih teruk daripada aku?” Jimi melepaskan nafas berat. Dia kelihatan marah walaupun dalam keadaan badannya yang lemah.

“Kau bukan tak tahu perangai kawan kita ‘tu, Jimi! Berbuih mulut aku nasihatkan dia agar jangan kuat berjalan. Tak dihiraukannya. Paling kuat reaksi dia ialah senyum saja.”

Jimi menggeleng kepala. Dia tahu Zain cedera agak teruk akibat peristiwa kelmarin. Sebahagian daripada kecederaan Zain adalah akibat ingin melindungi Jimi daripada lebih teruk dibelasah. Dia berasa risau akan kecederaan Zain. Lebih dari itu, dia berasa bersalah kerana mengajak Zain masuk ke satu lorong sunyi, kononnya ia jalan pintas yang menghubungkan pasar raya dengan kediaman mereka. Siapa pula yang boleh menduga mereka akan bertembung dengan sekumpulan pemuda yang nyata tidak senang dengan kehadiran orang asing seperti mereka di tanah Britain ini.

Mengingati semula peristiwa kelmarin, Jimi memperoleh pelajaran darinya, dan dari rakannya, Zain. Zain tidak melatah apabila mereka diprovokasi oleh salah seorang dari pemuda kulit putih itu sebaliknya hanya melemparkan senyuman dan mengucapkan selamat kepadanya. Pemuda itu sebaliknya melontarkan kata-kata kesat dan menghina sebaik sahaja Zain dan Jimi memasuki lorong kecil itu.

“Lebih baik kamu balik segera ke negara asalmu. Kami sama sekali tidak mengalu-alukan kehadiranmu di sini!”
Mendengar itu telinga Jimi menjadi panas. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya lalu merenung tajam mata pemuda dalam lingkungan usia 30-an itu. Tindakan Jimi itu seperti mencurah minyak ke dalam api, nyata telah menaikkan kemarahan mereka.

“Oh, kau tidak puas hati dengan kami?” Pemuda tadi menuju ke arah Jimi, disertai rakan-rakannya yang lain. Sebahagiannya mengambil kayu yang tersepah di tempat buang sampah.
Zain cuba menenangkan mereka tapi sudah terlambat. Menyedari mereka menyasarkan Jimi, Zain membuka baju panasnya lalu segera membalut badan Jimi sebelum memeluknya. Zain mendorong Jimi tunduk ke tanah dan melindungi Jimi dengan badannya sendiri, tindakan yang hanya menyebabkan dirinya sendiri menjadi sasaran utama kumpulan pemuda itu.
Jimi menjerit meminta tolong. Sehingga tekaknya sakit dan suaranya makin perlahan, kumpulan pemuda itu tidak kelihatan seperti mahu berhenti.

III

river thames

“Xenophobia, rasisme, etnosentrisme, chauvinisme, namakan pelbagai lagi istilah sosiologi yang lain. Semua fenomena sosial ini lahir selepas Brexit; selepas United Kingdom mengisytiharkan keluar dari Kesatuan Eropah. Penduduk tempatan berasakan hak mereka terancam dengan kedatangan orang asing ke negara mereka. Bermula dengan kebimbangan pekerjaan mereka diambil oleh orang asing, ia melarat sehingga menimbulkan kebencian kepada orang yang bukan dari bangsa mereka. Kebencian ini seperti virus yang merosakkan hati, mendorong mereka melakukan jenayah dan keganasan terhadap orang lain. Tanpa sebarang sebab yang wajar.”

Rakan-rakan Zain mendengar kata-kata presiden mereka dengan khusyuk. Jauh di sudut hati, mereka berasa simpati dengan keadaan rakan mereka yang menjadi sebahagian daripada statistik mangsa jenayah akibat fenomena Brexit yang berlaku kini. Namun perasaan itu sedikit demi sedikit hilang dibayangi rasa kagum dengan semangat Zain yang tidak berasa lemah walaupun sudah diperlakukan dengan teruk oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Suasana dalam bilik mesyuarat di pusat komuniti Masjid Sparkbrook itu hening. Pelajar-pelajar yang menganggotai Persatuan Pelajar Malaysia sedang bermesyuarat untuk menganjurkan program dialog harmoni di komuniti berhampiran universiti mereka tidak lama lagi. Program yang bakal diadakan buat kali pertama ini merupakan usaha awal mereka untuk menjalinkan interaksi dan hubungan baik dengan warga setempat. Cadangan untuk mengadakan program ini telah lama diajukan. Persediaan peringkat permulaan telah pun dibuat, tetapi siapa sangka peristiwa yang menimpa Zain dan Jimi boleh terjadi?

Zain ingin menyambung ucapan dalam suasana senyap-sunyi itu sebelum tiba-tiba satu suara mencelah dan memotong kata-kata yang mahu dilontarkan Zain.

“Bagaimana keadaan Jimi Chen?”

Jeda seketika. Para pelajar di situ terkejut sebelum semuanya berpaling untuk melihat pemilik suara lembut yang mengajukan soalan secara tiba-tiba itu.

“Err.., maaf! Saya kurang periksa.”
Jelasnya Zain lebih terkejut. Dia turut menoleh ke arah orang yang bertanya itu.

“Boleh ulang soalan tadi, err.., Sarah?”
Kini perhatian semua tertumpu kepada Sarah yang sejak awal mesyuarat tadi tiada sepatah kata keluar dari bibirnya. Sarah berada di sebelah kanan Zain, selang empat orang pelajar darinya. Gadis kecil molek kelahiran Ipoh itu berada di tahun dua pengajian. Kerut mata dapat dilihat dari balik cermin matanya, seperti menyimpan satu persoalan berat yang mahu dikeluarkan segera.

“Soalan saya: bagaimana keadaan Jimi Chen? Sihatkah dia? Sakitkah dia?” Sarah kelihatan serius, tidak padan dengan susuk tubuh kecil dan suara halusnya.

“Oh, Jimi, err.., dia sedang berehat di bilik!” Zain menjawab terbata-bata.

“Oh, nampaknya Encik Presiden tak menjawab soalan saya. Saya berpandangan keadaan Jimi Chen tidak berapa baik melihat kepada jawapan berselindung dari Zain. Kedua, melihat kepada keadaan fizikal Zain sendiri yang kita semua nampak – kepala berbalut, mata lebam, pipi bercalar. Maaf, Encik Zain! Saya tidak rasa kita patut meneruskan program kita ini berdasarkan situasi sekarang!”

Secara tiba-tiba suasana hening dan dingin di bilik mesyuarat itu bertukar hangat. Dua-tiga orang pelajar mula bercakap sesama mereka rentetan persoalan dan bidasan yang dikemukakan Sarah.

“Fenomena yang lahir selepas Brexit ini masih terlalu baru dan tidak dapat kita ramal – bahayanya. Sejauh mana kebencian warga tempatan terhadap warga asing. Se-ekstrem mana tindakan yang sanggup mereka lakukan. Hari ini Zain dan Jimi dipukul. Saya risau jika kita tidak berwaspada dan meneruskan program ini, esok-lusa mungkin akan ada orang lain di sini yang menjadi mangsa!”

Kata-kata Sarah menjadi semakin lancar. Kini tiba giliran Zain mendengar dengan khusyuk.

“Selepas peristiwa kelmarin, kita risaukan keadaan Zain yang mungkin dijadikan sasaran selepas ini oleh penyerangnya. Apakah jaminan perkara ini tidak akan berulang?” tambah Sarah.

Selesai Sarah meluahkan kebimbangannya, Zain tersenyum lebar, seperti selalu. Zain berdehem kecil, melegakan tekaknya. Dia mahu mengambil “tempatnya” semula.

“Terima kasih atas pandanganmu, Sarah! Sangat bernas dan kritis. Kita memerlukan lebih ramai mahasiswa sepertimu untuk mengangkat pandangan-pandangan alternatif, untuk kita seimbangkan dengan pandangan arus perdana kini yang belum tentu pun benar atau salahnya.”

Zain kelihatan telah memperolehi ketenangannya semula. Sebentar tadi dia terkejut apabila “diserang” secara tiba-tiba oleh Sarah.

“Jadi, awak setuju dengan cadangan saya agar program ini dibatalkan? Tidak syak lagi ia amat berbahaya, bukan?” Sarah kelihatan separuh memaksa.

“Oh, belum lagi, Cik Sarah! Kita tidak boleh berbuat keputusan terburu-buru. Sebahagian daripada persiapan untuk program dialog harmoni ini telah pun dibuat oleh Jimi, Hafez dan lain-lain. Tidak adil untuk mereka jika kita batalkan ia begitu sahaja.” Zain mempertahankan. Senyumnya masih belum tertanggal di hujung bibir.

“Tapi sangat jelas program ini tidak selamat! Lihatlah keadaan awak sendiri! Adakah awak sanggup mempertaruhkan keselamatan rakan-rakan kita, persatuan ini, dan nyawa awak sendiri semata-mata untuk program yang belum pasti berjaya ini?” Sarah mula agak beremosi. Pipinya mula kemerah-merahan. Suasana mesyuarat menghangat walaupun suhu di luar serendah sepuluh darjah Celcius. Pelajar-pelajar lain tidak berani masuk campur dalam urusan yang sudah jadi seperti isu peribadi antara Zain dengan Sarah. Terutamanya Sarah.

Zain melihat Sarah dengan senyuman yang masih berbekas. Segera dia teringat Jimi yang ditinggalkannya di bilik.

“Apa yang berlaku ke atas saya dan Jimi adalah alasan paling kuat mengapa program ini perlu diteruskan. Kebencian yang timbul berpunca dari tidak berlakunya interaksi antara kita. Manusia cenderung membenci perkara yang dia tidak tahu.

Tentatif program sudah cukup baik. Kita akan mulakan pagi itu dengan acara gotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Nama “gotong-royong” akan kita gunakan kerana kita mahu tunjukkan kepada orang tempatan bahawa kita ada satu budaya baik yang boleh dikongsi dengan mereka. Dan inilah masanya untuk kita berinteraksi dan berdialog dengan mereka seorang demi seorang, secara intim. Program dialog harmoni yang dijadualkan pada sebelah malam hanyalah satu formaliti untuk kita raikan pemimpin tempatan selain memperkenalkan diri kita kepada mereka dalam skala yang lebih besar.”

Sarah terdiam. Kata-kata Zain memang benar. Tapi dia amat risaukan keadaan Zain yang tidak sesuai untuk memimpin acara itu dengan keadaannya sekarang!
Pelajar lain belum berani mencelah. Mereka hanya mahu mengikuti dialog Zain dan Sarah dengan penuh minat. Disebabkan itu, sehingga petang persetujuan belum dapat dicapai.

IV

Zain melunjurkan kakinya yang terasa tegang. Dia mungkin telah berjalan terlalu jauh siang tadi menyebabkan lututnya lenguh sementelah badannya masih belum pulih sepenuhnya. Dia menjenguk-jenguk saf-saf di belakang, memerhati kalau-kalau Farhan sudah tiba seperti yang dijanjikan. Jemaah masih ramai menyebabkannya tidak dapat mencari kelibat sahabatnya itu. Sebahagiannya mengerjakan solat sunat, ada yang mengambil mashaf Al-Quran dari rak berhampiran, tidak kurang juga yang mengambil kesempatan bertemu dan bermesra dengan rakan-rakan mereka.

Zain sedang mengelamun mengenangkan suasana mesyuarat petang tadi ketika tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Farhan muncul dengan wajah resah, seresah suaranya lewat telefon siang tadi.

“Zain!” Bahunya dirangkul Farhan. Mereka berpelukan.

“Aduh!” Zain mengadu kesakitan. Lengannya terseliuh apabila ditarik Farhan dari belakang.

“Oh! Maaf, maaf!” Farhan menyesali tindakannya yang terburu-buru.

“Ha! Ha! Tidak mengapa, Farhan! Pasti kau tergesa-gesa hendak ke mari, bukan?” Zain menenangkan Farhan yang resah.

“Aku dimaklumkan yang kau dan Jimi dipukul. Bagaimana ini boleh terjadi, Zain?”

“Ha! Ha! Aku menganggap ini sebagai fenomena sosial dan alam yang biasa berlaku, Farhan! Dunia ini berkembang sehingga sampai satu tahap ia akan berhenti sebelum menguncup semula. Manusia juga begitu.”

“Hmm.., teori galaksi Stephen Hawking?”

“Sebelum ini kita mengagungkan manusia yang berfikiran terbuka. Aku fikir pada masa akan datang kecenderungan ini perlahan-lahan akan hilang dan kita akan lebih menyanjung orang yang bersifat sebaliknya. Kau lihatlah negara ini dengan Brexit-nya. Dan Donald Trump akan menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat!”

“Apa maksudmu, Zain?”

“Maksudku, kita perlu bersedia dengan perubahan yang mungkin tidak akan menyenangkan kita. Di sebalik nilai tradisi yang kita pegang selama ini. Perubahan tidak semestinya baik, Farhan! Sebaliknya, nilai baik itu tidak semestinya akan diikuti oleh semua orang.”

“Aku semakin keliru denganmu.”

“Berada di negara orang, aku rindukan keluarga dan suasana di kampung. Aku tidak dapat berada bersama mereka, tapi apa yang boleh aku lakukan ialah kekal dengan nilai-nilai tradisi yang aku warisi dari mereka dan mengelak daripada terpengaruh dengan anasir tidak baik yang ada di sini. Nilai-nilai baik yang berakar dari warisan budaya bangsaku dan akhlak mulia yang diajarkan agama kita, Farhan! Itulah yang cuba aku pegang seerat-eratnya di sini. Tanpa nilai-nilai ini barangkali aku sudah lama hanyut dibawa arus deras budaya global yang lebih dominan.”

“Menurutku, nilai-nilai itu cukup jika kaupegang seorang. Maafkanku bertanya, mengapa kau begitu aktif berpersatuan, Zain?”

“Semulia mana pun nilai yang aku pegang, aku tidak akan mampu bertahan lama dengannya jika aku bersendirian, Farhan! Dugaannya terlalu kuat. Aku memerlukan gandingan tangan dari rakan-rakanku untuk memegangku sama agar tidak terlepas dari nilai-nilai yang aku cakapkan tadi.”

“Aku bangga punya rakan sepertimu. Oh, ya! Bagaimana mesyuaratmu tadi petang? Tetap dengan keputusan untuk meneruskan program itu?”

“Ha! Ha! Sarah berkeras mahu kami membatalkan program itu atas alasan keselamatan. Puas aku menerangkan kepadanya.”

“Lalu?”

“Aku memilih jalan demokrasi. Aku buka undian kepada ahli mesyuarat – meneruskan, atau membatalkan.”

“Keputusannya?”

“Sarah mempunyai kemahiran memujuk yang tinggi. Tapi aku juga ada senarai hujahku sendiri. Hmm.., Farhan! Dari tadi hanya kau yang bertanya soalan. Sekarang aku ingin bertanya kepadamu. Dari mana kau tahu yang aku dan Jimi dipukul?”

Farhan diam. Dia tahu Zain sengaja menangguh menjawab soalannya kerana dia sendiri punya soalan yang ingin ditanyakan kepada Farhan. Taktik tawar-menawar sebegini setahu Farhan hanya dikuasai oleh seorang ahli politik!

“Aku dimaklumkan lewat WhatsApp oleh seseorang yang kufikir sealiran denganmu dan sangat mengambil berat terhadapmu. Tadi ada kaukatakan tentang gandingan tangan rakan-rakan yang kauperlukan, bukan? Menurutku, orang ini adalah pemilik tangan itu.” Farhan sengaja menebak rakannya itu.

“Andi?” Zain meneka. Dia tahu tekaannya pasti betul. Tiada orang lain yang tahu berita ini seawal Andi.
Giliran Farhan tersenyum lebar. Dia akan mengeluarkan kad terakhirnya dalam permainan tawar-menawar yang dimulakan Zain ini.

“Bukan Andi, Zain!”

“Oh! Habis ‘tu, siapa?” Tiba-tiba Zain jadi tertanya-tanya.

“Sarah!” Senyum Farhan makin lebar.

“Hah? Tak mungkin! Macam mana Sarah tahu?” Zain terkejut dan seakan tidak percaya.

“Kau perlu jawab soalanku tadi terlebih dahulu, Zain!”

Zain bangun dari duduknya. Dia mahu tersenyum tapi dia perlu menjawab soalan Farhan terlebih dahulu.

“Kami memilih untuk meneruskan program itu, Farhan! Bahaya ada di mana-mana, tetapi jika kita berani menutup puncanya, ia tidak akan tumbuh dan merebak. Kebencian perlu dicantas dari awal, digantikan dengan kasih-sayang dan cinta,” ucap Zain penuh bersemangat.

Farhan mendongak melihat Zain yang tiba-tiba berdiri. Dia tersenyum melihat Zain yang juga tersenyum apabila melafazkan perkataan “cinta” sebentar tadi.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑