Bertemu Perempuan Bermata Biru di Pinggir Terusan Amsterdam

oleh Nik Mohd Iznan

 
“Jangan risau, saya bukan pengganas!” Itu kata-kata pertama yang terluncur di bibir engkau. Aku memerhati mata engkau yang berwarna biru persis permata fluorit.

Kita bertemu dalam rona kota Amsterdam yang berwarna-warni. Ketika itu, pelancong berpusu-pusu melihat keindahan warisan senibina Belanda yang unik. Engkau menegur ketika aku dibuai gelisah di sebuah bangku di sisi jeti Lovers setentang Central Station. Memang, aku tidak ada duit langsung waktu itu. Aku kena ragut. Mujur passport tidak hilang sama.

Aku seperti gelandangan di kota asing yang hilang arah. Aku seperti kincir angin yang enggan berpusing. Aku seperti bunga tulip yang semakin layu.

Engkau datang bertanya dan ikhlas mahu membantu.

Engkau meminta izin untuk duduk di tepi.

“Tengok, gambar bunga tulip. Inilah simbol warna-warni kedamaian.” Ujar engkau sambil menunjuk telefon.

Kemudian engkau menambah, “seronok kalau dapat tinggal di Amsterdam lebih lama. Kau tahu, kota metropolis ini diiktiraf antara tujuh bandar paling selamat di dunia selain Sydney, Melbourne, Toronto, Osaka, Singapura, dan Tokyo.”

“Setuju!” Jawab aku ringkas. Aku masih belum bersemangat untuk meneruskan perbualan.

amsterdam1

Pada dia, definisi selamat mungkin hanya sekitar tahap perlanggaran perundangan, kekejaman atau kekerasan termasuklah perang atau penguasaan pihak tentera. Namun pada aku, selamat lebih daripada itu. Mungkin ada aras-aras lain seperti integrasi serantau, ketelusan pentadbiran, indeks rasuah, tahap pendidikan, julat pendapatan penduduk, dan banyak lagi. Paling penting bagi aku, ketenangan jiwa dan kesepaduan emosi. Barulah kita rasa selamat dan aman.

Secara realiti, dunia semakin sakit. Lihat sahaja, tidak ada tempat lagi yang benar-benar selamat. Malah, dunia pernah menyaksikan beberapa serangan wabak berskala besar seperti Kolera, H1N1, SARS, Ebola, dan CONVID-19.

Belum lagi termasuk kejadian lain seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, tsunami dan banyak lagi. Pada aku, ini peringatan daripada Tuhan bahawa dunia semakin tua. Dunia semakin tidak selamat. Kiamat semakin hampir.

Macam mana nak selamat kalau hasil bumi dikaut tanpa kawalan? Pencemaran di mana-mana. Pelepasan gas berbahaya sesuka hati.

Aku masih tetap berwaspada dengan perempuan bermata biru itu. Sebenarnya, di mana-mana tempat pun sentiasa terdedah dengan jenayah ragut, rompak, curi, rogol, vandalisme dan banyak lagi. Sebab itu kita kena siaga. Jangan mudah terpedaya.

Setelah mengatakan engkau orang Amerika, aku semakin skeptikal. Namun, aku buang segala prasangka yang bersarang dalam kepala.

Sebenarnya, itu hari pertama aku di kota Amsterdam selepas sampai dari lapangan terbang. Melihat perbezaan antara lapangan terbang luar negara dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, aku bangga menjadi anak Malaysia.

Oh ya, aku baru sahaja berkira-kira mahu menjelajah Madam Tussaud, Anna Frank House, Dam Square, Body Worlds, Van Gogh Museum, Amsterdam Central, Zaan Schans, Giethorn dan banyak lagi. Dalam kepala, aku juga mahu melawat kincir Sawmill. Aku mahu melihat dengan mata kepala sendiri lokasi pelancongan tarikan dunia.

Tapi kini semuanya musnah. Aku kena ragut. Mujurlah bilik hotel sudah bayar. Dan memang, aku ada simpan sedikit duit dalam bilik sebagai kecemasan. Sekarang sedang fikir cara macam mana nak bayar tambang balik ke hotel.

“Laura!” Engkau menghulur salam perkenalan setelah sekian lama berbual.

Sebenarnya, aku datang ke Amsterdam untuk sebuah seminar antarabangsa berkaitan keamanan global. Aku salah seorang pembentang.

“Datang buat apa?” Giliran aku pula bertanya. Lantas engkau menjawab, “Mencari dunia yang selamat!” Entah, aku tidak pasti selamat yang macam mana. Namun, aku biarkan sahaja jawapan itu terus berpuing-puing dalam neuron kepala.

Oh ya, aku sedikit kagum kerana bagaimana perempuan Amerika boleh fasih berbahasa Melayu begitu. Namun, aku diamkan sahaja. Masih terlalu awal untuk aku menerka.

Selanjutnya engkau mengajak aku ke sebuah restoran halal berdekatan. Engkau

bertanya aku mahu makan apa. Aku jawab tidak kisah asal halal.

Ketika makan, engkau bercerita tentang betapa dunia semakin sakit. Usai makan, engkau mengajak aku menikmati keindahan bandar Amsterdam dengan menaiki Cruise. Kata engkau, menaiki Canal Cruise seronok waktu gelap sambil menikmati udara malam dengan lampu yang menyala di bangunan kiri kanan. Tapi tidak mengapa, siang pun cantik juga. Dapat lihat pemandangan dengan jelas. Kesan-kesan bangunan lama akan terpancar betapa damainya sebuah keamanan.

Selanjutnya, engkau bercerita bahawa engkau dalam misi mengkaji budaya luar untuk menyiapkan buku travelog yang ke-12. Oh penulis rupanya. Sengaja ke sini untuk melihat sendiri negara yang melahirkan beberapa pelukis ternama seperti Jan Steen, Rembrandt van Rijn dan Vincent van Gogh. Engkau sebenarnya ada program lain. Tapi engkau tidak mahu ceritakan. Aku pun tidak mahu betah memaksa.

“Kau tahu?” Tiba-tiba terpacul kata dari bibir Laura yang manis.

“Keamanan kian hilang. Peperangan di mana-mana.” Ada syahdu di mata engkau.

“Aku benci peperangan. Peperangan hanya meragut kemanusiaan. Lihatlah apa jadi dengan rakyat Afghanistan, Iraq, Syiria, Ukraine, Yaman, Bosnia dan banyak lagi.” Semakin bersemangat engkau bercerita.

“Bukan sebab Amerika ke?” Tanya aku menduga. Pada aku, salah satunya sebab Amarika. Galak sangat serang negara orang menunjuk kuasa.

Engkau tajam memandang wajah aku. Sebaliknya, aku memusingkan wajah melihat kesan tinggalan bangunan lama yang masih gagah berdiri.

“Walaupun aku Amerika, tidak semua tindakan pemimpin Amerika aku suka.” Engkau pantas membantah dengan suara yang agak tinggi. Jelas, aku nampak keikhlasan dalam mata engkau yang biru.

“Malah, bukan semua Amerika jahat.” Engkau membantah kata-kata aku.

Aku cakap kepada engkau, “tenang!” Setelah diam agak lama, aku pula bercerita tentang hal lain.

amsterdam

Kita semakin mesra.

Aku semakin berani untuk terus berbual-bual dengan engkau.

“Dari Malaysia?” Tanya Laura lagi. Pelik baru nak tanya. Aku mengiyakan. Aku yakin, dia sudah tahu.

“Saya memang minat bahasa Melayu. Saya kagum dengan Malaysia. Malah di Universiti, saya mengambil kursus Peradaban Melayu sebagai subjek elektif.” Balas Laura.

Aku semakin terpaku dengan kefasihan Laura berbahasa Melayu. Kemudian aku bercerita sedikit tentang Malaysia. Antaranya ialah tentang sejarah Kota Belanda yang dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda di Pulau Pangkor pada tahun 1670. Sebab itu aku nak sangat datang Amsterdam. Dan kesempatan datang sini untuk seminar tidak harus disia-siakan.

“Saya pun pernah ke Pulau Pangkor selain Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh dan Pulau Pinang. Saya suka Malaysia. Awak bertuah kerana tinggal di negara Malaysia yang aman.” Sambung Laura. Udara kota Amsterdam masih juga beku.

Kini giliran aku pula bertanya. “Kamu pernah ke negara-negara seperti Bosnia atau Syiria?”

Dia diam seketika. Barangkali sedang menikmati keindahan terusan. Udara berpuing-puing menggerbangkan rambut kerintingnya.

“Ya, aku pernah ke Syiria. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.” Ujar Laura.

“Maksudmu?” Saja aku bertanya menduga.

“Kanak-kanak di sana yang lari dari peperangan berdepan dengan musim sejuk yang sangat dasyat. Mereka memerlukan pertolongan dunia. Kalau bukan kita, siapa?” Kata engkau dengan panjang lebar.

Aku hanya mendengar penuh minat. Kali ini, skeptikal aku kepada dia semakin sirna. Aku buang prasangka jatuh ke dalam terusan. Engkau semakin betah berkata-kata. Kali ini, engkau ceritakan tentang betapa malangnya nasib 11 juta rakyat Syiria yang terpaksa meninggalkan negara kerana perang.

“Engkau beruntung tinggal di Malaysia. Antara negara yang paling aman dan selamat di dunia.” Kata engkau.

“Jepun misalnya, ada juga terdedah dengan tsunami dan gempa bumi. Keamanan Christchurch pun pernah tercalar dengan serangan pengganas di Masjid Al Noor. Tapi Malaysia, tidak ada sangat isu yang dasyat,” engkau menambah.

Kami semakin rancak. Berbicara tentang kemananan, langsung menjurus kepada hal-hal lain seperti ekonomi dan sosial. Sehingga tidak sedar hari merangkak senja. Engkau memberi aku sedikit duit tambang untuk aku pulang ke hotel. Aku minta nombor akaun dan berjanji akan membayarnya balik walaupun engkau bersungguh menolak. Kembali ke jeti, engkau memohon untuk ke tandas sekejap. Lama aku menunggu tapi engkau tidak juga muncul. Engkau hilang tiba-tiba.

Beberapa hari kemudian, waktu seminar sudah sampai. Aku tidak sabar untuk membentangkan kertas kerja. Aku tidak sabar untuk terus balik selepas beberapa hari di sana. Aku puas dapat pusing-pusing Amsterdam. Mujur juga ada sembunyikan duit di bilik. Kalau kena ragut semua, entah apa akan jadi. Sebaik sahaja pengacara memanggil pengucaptama berucap, aku kaget. Aku perhati sedalam-dalamnya. Begitu lantang dia mengemukan pembentangan tentang pentingnya keselamatan dan keamanan global. Aku tepuk tangan setuju.

Associate Professor Dr. Laura Abigail. Ya, itulah perempuan yang aku jumpa beberapa hari lepas.

Leave a comment

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑