Kisah Angker – Episod Jalan Pintas

Sudah lima tahun Wan menjadi pemandu yang menghantar pekerja-pekerja kilang pergi dan balik kerja.

Pekerjaan ini pun dilakukan setelah dia kemalangan sewaktu menjadi kelindan lori. Sejak dari itu, akibat kecederaan yang dialami, dia berhenti kerja. Sejak itulah dia menjadi pemandu van kilang.

Pekerjaan ini pun sudah lebih dari cukup pendapatannya buat suami isteri. Setiap hari Wan akan melalui laluan yang sama tidak kira pagi atau malam. 

Jalan pintas itulah yang selalu menerima kunjungan Wan selama lima tahun ini. Dan selama itu, tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku. Walau Wan selalu menerima nasihat orang kampung supaya berhati-hati ketika melalui jalan pintas itu.

Malam itu agak sejuk dari malam-malam sebelumnya. Kebetulan hujan pula baru berhenti. Jam menunjukkan pukul 2.15 pagi. Wan sudah sedia berada di hadapan pintu masuk kilang menunggu penumpangnya.

Tepat 2.30 pagi pekerja kilang mula keluar setelah tamat shif. Beberapa orang mula naik van milik Wan. Tidak tunggu lama Wan menghidupkan van dan mula meluncur ke jalan raya.

Di dalam van masing-masing melayan kepala yang mengantuk. Selalunya begitulah, waktu begini kebanyakkannya masing-masing tidur. Wan jarang dapat berbual jika mengambil pekerja yang pulang pagi begini.

Wan pun faham keadaan mereka. Tidak diganggu masing-masing yang sudah terlena. Van meluncur pada kelajuan sederhana yang kemudian perlahan membelok ke kiri memasuki ke jalan pintas yang telah biasa dilalui.

Fahmi memejamkan mata. Dingin penghawa dingin makin memberatkan matanya yang telah sedia mengantuk. Di belakang kedengaran dengkuran Syukri. Entah bila dia terlena.

Tiba-tiba, Fahmi tersentak. Badannya melambung kehadapan. Nasib baik dia memasang tali pinggang keledar, jika tidak mahu juga kepalanya terhantuk ke cermin depan. 

Serentak itu terdengar Syukri dan Arman di belakang melatah kerana terkejut. Mulut masing-masing berceloteh dan mengaduh akibat dari brek kecemasan yang dilakukan oleh Wan.

“Kenapa ni Abang Wan?” tegur Fahmi sambil memandang Wan yang terbeliak matanya kekal kaku memandang hadapan.

“Tu…” jawab Wan pendek sambil menjuihkan mulutnya ke hadapan tanpa menoleh ke arah Fahmi.

Fahmi memandang kehadapan. Syukri dan Arman yang di belakang turut sama memandang.

“MasyaAllah!” Fahmi hampir menjerit. Syukri tak berhenti-henti mengucap tidak percaya apa yang dilihatnya.

“Apa benda tu…Abang Wan?” tanya Arman sambil menyorok di belakang.

“Aku tak tahu..” jawab Wan sambil tidak berkelip memandang ke hadapan. Kedua tangannya kekal memegang stereng dengan kejap. Cahaya lampu hadapan van jelas menyuluh, satu lembaga perempuan sedang berdiri berjarak dua buah kereta di hadapan sambil menekupkan mukanya dengan kedua belah tangan.

Mereka berempat dapat melihat dengan jelas, perempuan tersebut berambut panjang sehingga bergelimpangan di tengah jalan. Berbaju dan berseluar pendek ketat berwarna hitam.

Lampu van seakan tembus ke tubuh perempuan tersebut. Wan ligat berfikir apa yang harus dilakukannya. Fikirannya tak berhenti memutar nasihat-nasihat orang kampung yang disekitar jalan pintas itu. Mungkin inilah sebabnya fikir Wan.

“Kita nak buat apa ni Abang Wan? Takkan nak tunggu sini?”soal Fahmi.

Wan tidak menjawab soalan Fahmi. Dia masih berfikir. Seketika kemudian, Wan menukarkan gear kepada satu dan perlahan van bergerak ke hadapan.

Mulut masing-masing tak berhenti mengucap. Wan bersedia untuk mebelok ke kiri bagi mengelak perempuan tersebut. Sebaik saja dia memutarkan stereng, tiba-tiba Wan menekan brek. Van begitu dekat dengan lembaga tersebut.

“Kenapa berhenti ni Abang Wan?!” jerit Fahmi panik.

“Sabar!” tegas Wan.

Wan memeturkan semula stereng ke kedudukan asal, menukar gear kepada mengundur. Van mengundur. Setelah berada dalam keadaan yang sesuai, Wan memutar stereng seluruhnya ke kanan. Menukar gear ke satu dan mula menekan minyak. 

Van bergerak kehadapan. Lama kelamaan berselisih dengan perempuan itu. Fahmi mengendeng tubuhnya ke arah Wan sambil memejamkan matanya tatkala van melepasi perempuan tersebut. 

Wan memecutkan vannya setelah mereka melepasi sepenuhnya perempuan tersebut.

“Kau tahu kenapa aku ke kanan tadi?”tanya Wan.

Fahmi mengelengkan kepalanya.

“Kalau ke kiri tadi kita masuk dalam tali air. Lagi jahanam. Kan sebelah kiri tu semua tali air?” jawab Wan.

Fahmi hanya terdiam. Masing-masing terdiam masih cuba menghadam kejadian tadi. Namun Wan bersyukur tidak ada apa-apa kemalangan. Wan lega bila sampai di rumah. Selesai tugasnya malam ini.

Esoknya seperti semalam, pukul 2.15 Wan sudah berada di hadapan kilang menunggu Fahmi, Syukri dan Arman.

Van meluncur laju memasuki jalanraya. Malam ini masing-masing terbuntang mata. Wan menjeling ketiga-tiga penumpangnya. Dia hanya tersenyum.

Van mula menghampiri simpang kiri ke jalan pintas. Fahmi yang tidak tidur melihat simpang gelap itu telah bersedia menerima kunjungan mereka lagi.

Aneh, van tidak perlahan malah terus laju meninggalkan simpang jalan pintas yang gelita itu. Daun daun pisang yang menghijau di pinghir jalan seakan melambai-lambai mereka. Kepala Fahmi turut menoleh ke arah simpang yang semakin jauh itu.

“Tak ikut situ ke Abang Wan?” tanya Fahmi.

“Kau nak jumpa perempuan semalam tu ke? Dah jatuh cinta ya?” seloroh Wan.

Fahmi hanya tersengih. Syukri dan Arman sekadar ketawa di belakang.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑