siapakah generasi reformasi?

bershit2bfru2

Oleh Zulfadzli Halim

Dalam satu forum beberapa  malam lepas, muncul seorang ‘tokoh’ anak muda memaculkan satu istilah yang dalam sedar saya, belum pernah dibincangkan dan dibedah padahal ianya satu produk yang kita semua sedang hidup di dalam lingkungannya. Pada luarannya, maksud ‘generasi reformasi’ mungkin merujuk kepada satu golongan kelompok umur yang membesar dalam pergelutan politik tahun 1998 yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Anwar Ibrahim dipecat oleh Dr Mahathir. Berbeza dengan Musa Hitam, Ghaffar Baba dan TPM yang terbaru, Muhyiddin Yassin; Anwar bingkas bangun melawan dengan deklarasi Permatang Pauh, demonstrasi yang menyaksikan rakyat turun ke jalanraya sehingga berantakkan parti pemerintah, Barisan Nasional.

Tapi ini belum benar-benar menggambarkan maksud sebenar ‘generasi reformasi’. Jika kita berhenti berbincang setakat ini, ‘generasi reformasi’ hanya akan dikenali sebagai satu fasa yang dilalui oleh sekelompok manusia ini, maka ianya tak lebih dari post-trauma dari kejadian reformasi. Sedangkan walhasil dari reformasi bukan hanya melahirkan individu yang cuma pandai berdemonstrasi atau menjerit-jerit apabila mahukan sesuatu bahkan jauh lebih dari itu. Seingat saya, YB Rafizi Ramli juga pernah memilih istilah ini dalam pemilihan parti 2010, namun seingat saya, beliau juga tidak memberi erti kepada istilah ini.

Generasi Reformasi ialah rakyat Malaysia dan Indonesia yang hidup pada zaman yang mana perlawanan terhadap KKN (Korupsi, Kronisme dan Nepotisme) pada tahap kemuncak. Ianya rentas umur, bangsa, agama, generasi reformasi ialah generasi yang percaya bangsanya akan jauh lebih baik jika rasuah dan penyalahgunaan kuasa dibendung dan kuasa rakyat melalui demokrasi diperkasakan dan Generasi Reformasi ialah mereka yang memberi makna kepada idea ini, terus menerus sehingga kini. Reformasi bukan hanya detik turun ke jalanan, sebaliknya ia proses berterusan untuk pembaharuan atau islah dengan idea yang perasuah itu jahat, dan akan merosakkan bangsa.

Sesiapa saja yang percaya dan berusaha  kepada matlamat ini adalah generasi reformasi dan sekarang mereka yang bencikan rasuah dan kezaliman ini, apabila memegang jawatan dalam jabatan, bisnes atau kuasa dalam komuniti akan sentiasa mengangkat idea reformasi ini. Generasi ini bukan saja aktivis pembangkang malah ada dalam bidang perguruan, polis, petani, peniaga, malahan dalam UMNO sendiri ada generasi reformasi, masakan DS Najib Abdul Razak melancarkan program Transformasi, program reformasi yang dijenamakan semula dan TN50 yang memberi gambaran yang mereka ialah demokrat yang mendengar suara rakyat. Dalam kata mudah, generasi reformasi ialah mereka yang merasa jelik melihat rasuah wang, penyalahgunaan kuasa, kediktatoran dan cuba dengan bersungguh-sungguh mengubah budaya  jijik ini.

Inilah generasi reformasi, bukan setakat mereka yang terkesan secara langsung dengan pemecatan Anwar, tetapi juga yang membesar dengan idea reformasi yang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.  Pasca reformasi, saban hari generasi ini sudukan tentang keburukkan KKN dan dapat melihat sendiri projek-projek gajah putih, pembongkaran kes-kes pembaziran dan membesar dewasa dengan membenci kelakuan buruk ini.  Mereka yang mempunyai idea jelas ini tidak mudah canggung apabila susuk seperti Mahatir; puaka dalam naratif reformasi tiba-tiba mahu bekerjasama dalam menjatuhkan perasuah. Reformasi bukan melawan susuk tubuh seseorang. Jika satu susuk tubuh yang dikenali dengan dokongannya dalam gerakan reformasi khianat dan belot, melakukan rasuah dan kezaliman; logiknya adakah beliau akan dibiarkan? Tentulah tidak.

Dalam proses reformasi berterusan ini, generasi reformasi mempunyai satu lagi cabaran yang harus kita mulai sekarang iaitu menyediakan tapak untuk berkembangnya Generasi Renaisans. Menjenguk ke Indonesia, generasi reformasinya telah melakukan tugas yang bagus sehingga sekarang aktiviti budayanya begitu semarak. Lihat saja karya-karya sastera, filem dan muzik; mereka kini jauh meninggalkan Malaysia yang masih mencari-cari nilai bangsa sendiri. Jika kita gagal menyuburkan gerakan berbudaya,  negara ke arah yang kaku dan kosong jiwanya. Ini pentingnya kesinambungan generasi reformasi dan generasi renaisans, selepas kita berjaya temui semula nilai diri dan bangsa kita perlu terus maju lagi, bukan berhenti dan berpuas hati.

Justeru itu, melihat reformasi sebagai gerakan yang hanya turun ke jalanraya dan melawan pemerintah sebenarnya tidak cukup dan hanya mencangkupi satu fasa. Generasi reformasi pula bukanlah hanya eksklusif untuk mereka yang pernah berdemonstrasi, tetapi generasi yang mampu memandang ke depan, demi survival bangsa Malaysia.

Leave a comment

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑