Pemuda Yang Memuntahkan Kapal Terbang.


100 tahun telah berlalu sejak makhluk asing berkulit putih dan berambut emas meninggalkan bumi. Namun sejak itu, keamanan yang dikecapi sekarang tidak seindah mimpi.

Di mana-mana kesan penjajahan dulu berparut di bumi masing-masing. Ya, makhluk asing tersebut telah pergi. Namun mereka meninggalkan ideologi mereka di benak semua pemimpin bumi.

Manusia tidak lagi mampu berdikari. Setiap gerak-geri dan fikiran dijajah dengan diasuh dari peringkat awal sehingga masing-masing menjadi buta pada keadaan semasa.

Rompakan hasil bumi masih berterusan didalangi pemimpin-pemimpin dunia. Tanpa disedari hari ini, bangsa manusia menjadi miskin.

Bukan tidak ada aktivitis yang menentang, malahan mereka semua kebanyakannya telah disenyapkan sama ada dibunuh, dipenjara atau dilenyapkan tanpa pengetahuan masyarakat.

Mana-mana negara yang bertapak pada ideologi sendiri akan diperangi habis-habisan. Mana-mana negara yang masih kaya dengan hasil bumi dijajah tanpa henti.

Setiap kerajaan mula mengubah dasar pendidikan negara. Bagi mengelak masyarakat dari berfikiran kreatif dan kritis, demi mencipta generasi yang tunduk telunjuk, kini mereka diajar muntah.

Perkara ini telah berlarutan lamanya. Setiap manusia kini lebih sibuk memuntahkan perkara yang sia-sia. Akibatnya lambakan muntah berselerakan di sana-sini mengundang mala.

Akibat dari kurangnya gerakan aktivitis masyarakat mula lupa pada agenda reformasi. Yang masih sedar sudah tidak mampu bersuara. Tekak mereka terlalu perit untuk membangkang kerana sering memuntahkan tuntutan kerajaan.

Aku, bakal menamatkan pengajian seminggu lagi. Sementara rakan-rakanku sudah bersedia dengan muntahan masing-masing, aku masih tidak bersedia. Ada yang mencebik bila mengetahui aku tiada apa-apa untuk dimuntahkan.

Setakat ini sahajakah kita? Aku selalu berfikir. Tahun lepas sekumpulan manusia memuntahkan suratkhabar berhaluan kiri. Tidak sampai dua hari kesemua mereka dipenjarakan.

Sejujurnya aku mual dengan keadaan di bumi ini yang merelekan penjajahan dan kezaliman ini sama ada secara sedar atau tidak. Tidakkah mereka terasa betapa sakitnya masyarakat hari ini?

Aku tahu aku tidak berseorangan dalam hal ini. Ada yang seperti aku, masih mampu berfikir. Cumanya mereka tiada kekuatan untuk melakukan sesuatu. Aku tahu mereka mahu bertindak. Tetapi mereka memerlukan seseorang memunjukkan jalan. Mereka perlu seseorang untuk memulakan dulu. Tetapi siapa?

Malam yang dingin ini, menjadi saksi. Aku tersenyum sendirian. Aku tahu apa yang aku harus lakukan. Semoga muntahan aku menjadi tapak mula gerakan merdeka. Semuanya tercetus apabila teringatkan tabiat pemimpin negara ini yang suka berbelanja besar di luar negara.

Keesokkan harinya, di dada-dada akhbar cetakan kerajaan menjaja cerita tentang seorang pemuda yang ditangkap ketika upacara permuntahan. Mata-mata mereka yang sedar akan kepincangan kepimpinan, dan mereka yang menunggu wahyu untuk bertindak terbeliak mata membaca berita.

Tangan dan hati mereka bergetar. Semangat juang menyala secara tiba-tiba. Tidak pernah mereka ketahui, mereka mampu dan boleh sebenarnya memuntahkan sesuatu yang mampu menggoncang kezaliman.

Berita itu umpama garuda melanggar kampung-kampung. Segala tiang-tiang tahyul mula runtuh dengan huruf-huruf yang tersusun menjadi tajuk utama berita pagi itu :

SEORANG PEMUDA DITANGKAP KERANA MEMUNTAHKAN KAPAL TERBANG UTAMA YANG

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑