Undi Rosak, Al-Arqam, dan Tora Datang Lagi

undirosak1

Kalaulah masyarakat kita sudah keluar dari orientasi politik kepartian secara tuntas, maka mungkin gerakan #UndiRosak itu boleh dipertimbangkan untuk diperjuangkan. Sayangnya, kita masih jauh dari kedudukan masyarakat madani (civil society) sebegitu yang memungkinkan kita berlepas diri dari parti-parti politik sebaliknya mempunyai kuasa sendiri untuk menentukan sebarang keputusan penting dalam negara ini.

Namakan satu kuasa ketiga yang cukup signifikan untuk kita pertaruhkan masa depan kita terhadapnya. Hampir tiada, rasanya. Dan jika ada pemikiran sebegini di peringkat individu-individu, ia perlu digembleng sehingga mencapai satu tahap massa sehingga mampu menggugat kerajaan atau pembangkang sedia ada.

Pada satu masa dulu kita ada Al-Arqam yang bukan Umno dan bukan Pas (diulangi, pada masa dulu). Berorientasikan ekonomi dan agama, gerakan ini telah mencapai tahap massa dan mampu menggugat sesiapa, termasuk mereka yang berada di takhta kekuasaan. Mempunyai sekolah, kilang, pasar raya mini, malah beberapa perkampungan di seluruh negara, Al-Arqam adalah kuasa ketiga pada waktu itu yang berbaloi dipilih oleh orang yang berkeputusan “kedua-dua kerajaan dan pembangkang sama sahaja”. Hanya sahaja gerakan pimpinan Ashaari Muhammad ini tidak “tersungkur di pintu syurga”, idea kuasa ketiga di negara ini mungkin mempunyai mentol lampu yang lebih cerah. Tapi, itulah. Kata orang, selebihnya adalah sejarah.

undirosak4

Berada pada zaman media sosial ketika ini, semua perkara mahu (dan pada kebanyakan masa perlu) cepat. Kita ada artis/selebriti segera lewat YouTube, penulis segera lewat Wattpad, jurujual segera lewat Instagram, doktor gigi segera yang mendapat pembelaan kumpulan motosikal sebelum ditawar berlakon drama, hakim/pendakwaraya/peguambela segera lewat Facebook dan macam-macam lagi. “You name it!”, bak kata Najib kepada Trump.

Idea #UndiRosak ini juga muncul segera, kira-kira sesuai atau sedang elok sebelum Parlimen bubar, yang tarikhnya hanya Allah dan Rosmah yang tahu. Ya, nanti ada pula yang kata gerakan undi rosak sudah wujud sejak PRU yang lalu. Pundak namanya, singkatan untuk Parti Undi Rosak. Baik, katakanlah sudah wujud lama pun, apakah yang digerakkannya selepas PRU lalu yang dimenangi BN? Dan kini, idea ini datang lagi seperti Tora dengan coklat bola dan permainan “pangkah semua parti” dan “conteng kertas undi”.

Saya mahu berkata, gerakan ini perlu sekurang-kurangnya mempunyai separuh kekuatan Al-Arqam terlebih dahulu untuk meraih kepercayaan orang. Dan kepercayaan itu tidak terbina secepat status Twitter ditulis biar secantik mana pun tanda pagarnya.

Gerakan #UndiRosak harus menawar solusi dan jangan banyak merengek. Ya, Mahathir mungkin sangat teruk dan PH mungkin tidak akan lebih baik daripada BN jika ia memerintah nanti. Tapi, berada dalam rejim yang berbeza mungkin lebih bermakna setelah kita gigih berusaha, berbanding terperuk dalam status quo akibat enggan mencuba. Dan merosakkan undi bukanlah satu idea yang mampu untuk kita lakukan sekurang-kurangnya pada masa ini. Lihatlah akibat anak muda Britain tidak mahu mengundi sehingga memungkinkan berlakunya Brexit yang kini dikesali ramai.

undirosak2

Idea #UndiRosak bukanlah garapan kreativiti terakhir yang kita harapkan dari anak muda. Selain kelihatan lapuk, ia nampak tak banyak bezanya dengan pendekatan berkecuali Pas yang telah banyak mensabotaj pemilihan-pemilihan penting di Parlimen. Dan kedengaran senada dengan mereka yang nampak seperti sudah kehilangan perjuangan, ke sana tidak ke sini pun tidak, tercicir dari arus perdana politik tanah air, terpisah dari realiti semasa dan berada dalam dunia utopia mereka sendiri.

Melainkan kamu mahu dikaitkan dengan Pas, maka teruskanlah idea #UndiRosak ini. Saya tak mahu.

 

(kredit gambar: semberono.com, chedinsphere.blogspot.com, malaymail.com)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑